Pembuangan Bayi
Pembuangan bayi biasanya melibatkan golongan remaja yang bertindak terburu-buru ketika mengambil tindakan. Akhbar-akhbar perdana negara sering memaparkan kejadian ini dalam akhbar mereka dengan begitu meluas tanpa segan-silu. Hal ini bukan sahaja menyusahkan pelbagai pihak malah imej negara kita akan tercalar. Jadi, sebelum mencari jalan penyelesaiannya, kita perlulah mengenal pasti sebab musabab yang menjadi akar umbinya sebelum kemelut ini menjadi barah kerana kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.
Hal ini berlaku lantaran kurangnya didikan agama dalam kalangan remaja kita. Kekurangan ini mungkin akibat kekurangan didikan dan perhatian ibu bapa serta impak kemodenan yang melanda negara kita. Remaja kita tidak mempunyai pegangan agama yang tebal dan mudah dipengaruhi oleh desakan seksual mereka itu. Tanpa didikan agama yang teguh, mereka tidak dapat membezakan sesuatu perbuatan mereka itu betul atau salah dan tidak dapat membezakan antara hak dengan batil. Hal ini dapat dilihat apabila remaja perempuan mudah terlibat dalam kancah perzinaan sedangkan berzina itu haram di sisi agama. Kesannya, banyak anak luar nikah yang lahir dan akhirnya bayi yang tidak berdosa itu dibuang demi menutup malu perbuatan remaja yang goyah imannya. Jadi, didikan agama yang kurang mantap menyebabkan masalah ini kian meruncinng.
Selain itu, isu ini turut berleluasa kerana institusi kekeluargaan itu sendiri sudah runtuh. Sudah menjadi kebiasaan kini sesebuah keluarga itu tidak mempunyai ayah atau ibu untuk mendidik. Ketiadaan ini menyebabkan tanggungjawab mendidik anak tidak menjadi satu keperluan yang harus dipenuhi dengan baik. Menurut kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat bahawa 50 peratus masalah sosial remaja berpunca daripada keluarga yang porak peranda. Ibu atau bapa yang tunggal sering sibuk mencari tuntutan nafkah untuk menyara kehidupan keluarganya. Lantaran itu, mereka telah mengabaikan tanggungjawab hakiki mereka dalam mendidik dan memantau setiap perlakuan anak mereka. Pengabaian ini akhirnya mengundang padah apabila anak mereka terlibat dalam perbuatan yang sumbang. Sesungguhnya, keadaan inilah yang menyebabkan masalah pembuangan bayi menjadi-jadi.
Sikap masyarakat yang terlalu suka menghukum turut menjadi penyebab pembuangan bayi ini berlaku. Kita suka menganggap bahawa wanita yang mengandung tanpa suami ini sebagai melakukan kesalahan tanpa menimbang keadaan yang menjurus kemelut itu berlaku. Mungkin ada antara mereka yang mengandung disebabkan tindakan manusia yang durjana sehingga sanggup merogol gadis yang tidak berdosa. Dalam hal ini, wajarkah remaja itu dipersalahkan oleh perbuatan manusia yang tidak berhati perut itu? Sememangnya kita harus bersimpati terhadap mereka tetapi keadaan menjadi lebih rumit apabila terdapat segelintir daripada ahli masyarakat kita yang lebih suka menunding jari kepada sesetengah remaja tanpa meneliti punca yang menjadi permasalahan ini. Malangnya, masih terdapat pemikiran masyarakat yang kolot lalu menyebabkan remaja tidak mempunyai tempat untuk mengadu masalah mereka sehingga sanggup membiarkan anak mereka berada di tempat yang tidak sepatutnya daripada dipandang jijik oleh masyarakat. Tegasnya, sikap masyarakat seumpama ini merupakan pemangkin gejala ini.
Arus kemodenan terutama melalui media massa telah menyemarakkan masalah ini. Program dari Barat yang mengaitkan kebebasan dalam pergaulan telah menyebabkan remaja mudah terpengaruh. Kehidupan moden sering dikaitkan dengan hubungan seksual yang bebas. Remaja yang baru berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang sering dikuasai oleh perasaan ingin mencuba pasti akan meniru aksi-aksi atau adegan-adegan panas yang terdapat dalam filem Barat bagi memuaskan nafsu mereka. Mereka tidak lagi berasa takut ketika melakukan perkara yang terkutuk itu asalkan nafsu berahi mereka dapat dipenuhi. Lantaran itu, masalah ini terus menerus menjadi sesuatu yang lumrah dan menjadi darah daging dalam hidup mereka. Sebagai akibatnya, lahirlah anak luar nikah dan masalah pembuangan bayi semakin sukar dikawal lantaran ingin menutup rasa aib atas perbuatan ibu bapa yang masih remaja itu.
Sebelum kudis menjadi tokak, kemelut remaja ini haruslah diatasi segera. Kita tidak seharusnya mendopang dagu tetapi pelbagai pendekatan yang proaktif perlulah diambil demi menangani masalah ini kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi ini yang diesebabkan oleh banyak faktor mempunyai pendekatan yang tersendiri untuk diatasi jika dikaji secara telus. Pelbagai pihak perlu berganding bahu untuk menyelesaikan dan mengurangkan kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita. Masalah tersebut akan menular dan menjadi duri dalam daging jika tidak ditangani segera ketika negara sedang berusaha untuk mencapai wawasan 2020. Kerjasama daripada semua pihak adalah amat penting untuk membendung masalah ini . Melalui usaha ini, hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan terbilang dari segi lahiriah dan rohaniah dapat direalisasikan.

Comments
Post a Comment