Kenangan Manis Zaman Kanak-kanak

Harini saya akan menceritakan kenangan manis pada zaman kanak-kanak yang tidak dapat saya lupakan. Saya ialah anak pertama dalam keluarga. Oleh sebab saya anak sulung merangkap cucu sulung dalam keluarga, sudah pastinya saya ditatang bagai minyak yang penuh. Saya cukup bertuah kerana dikelilingi oleh insan-insan yang menyayangi saya. Jarang-jarang kemahuan saya tidak dipenuhi. Semua kehendak saya dilayan dengan baik. Tambahan pula, ibu bapa saya sering meluangkan masa untuk saya di rumah dan pada hujung minggu pula, mereka akan membawa saya bersiar-siar.

Zaman kanak-kanak memberi saya peluang untuk memiliki banyak alat permainan. Ayahlah yang selalu membeli alat permainan untuk saya. Yang paling saya sukai ialah mainan patung ‘Barbie’. Ibu lebih suka membelikan saya barang mainan yang lebih memberikan pengetahuan seperti permainan lego dan komputer riba bergambar.

Masih terbayang di fikiran saya, kemeriahan apabila menyambut bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri semasa kecil dahulu. Belajar puasa amat memenatkan, tetapi ibu menjanjikan ganjaran untuk saya. Jika saya berjaya menghabiskan puasa, ibu akan menghadiahkan RM2 sehari untuk saya. Bukan itu saja, ibu akan memasakkan makanan kegemaran saya sebagai juadah berbuka puasa atau membeli apa-apa sahaja juadah yang saya ingini di Bazar Ramadhan.

Dua minggu sebelum raya pula, ibu dan ayah membawa saya membeli baju dan kasut baru. Sangat gembira saya pada masa itu. Pada hari raya pula, saya berpeluang bermain bunga api bersama-sama dengan kawan-kawan dan sepupu. Saya juga turut membantu Pak Su memasang pelita di halaman rumah datuk. Peluang mengumpul duit raya juga merupakan saat paling manis pada zaman kanak-kanak.

Kini, saya sudah dewasa. Kenangan pada zaman kanak-kanak memang amat menyeronokkan. Jika diberi peluang, saya ingin menikmati zaman itu semula walaupun saya tahu bahawa hal itu mustahil untuk berlaku dalam hidup saya lagi.    

Related image 

Comments

Popular posts from this blog

Persediaan sebelum menceburi bidang kerjaya yang mencabar

Sekolahku Syurgaku