Kenangan Terindah Di Sekolah

Suasana di rumahku sangat riuh sekali. Saudara-maraku sedang sibuk membantu ibu dan ayah menguruskan majlis perkahwinan abangku. Pinggan mangkuk kedengaran berlaga-laga. Suara helai ketawa kanak-kanak telah meriahkan suasana di sekelilingku. Aku pula sedang sibuk menyiapkan bilik pengantin abangku.

     Tiba-tiba pandanganku terhampar ke sebuah bingkai gambar yang terletak di atas meja di sisi katil. Senyumannya yang manis dan menawan telah bersamaku semenjak zaman kanak-kanak lagi. Kelopak-kelopak bunga menyirami hatiku. Hari itu hatiku berasa sungguh gembira sekali kerana sahabat karibku telah menjadi ahli dalam keluargaku.

     Rina ialah sahabat karibku. Aku mengenalinya semenjak darjah satu. Dia seorang yang aktif dan sangat berani. Aku sangat senang berkawan dengannya kerana aku juga seorang yang aktif dan agak nakal. Dia merupakan seorang pelajar yang amat berkebolehan dalam pelajaran dan dalam bidang komputer. Dia sering memberikan pertolongan kepada aku dalam mata pelajaran Matematik kerana aku sangat lemah dalam mata pelajaran tersebut.

    Selain bidang komputer, Rina juga mahir berlakon. Dia gemar berlakon dan selalu mengajak aku untuk berlakon bersamanya. Pada suatu hari, Rina telah membawa seekor katak ke sekolah. Dia mahu memegang watak sebagai seorang puteri dalam cerita ‘Seorang Puteri dan Seekor Katak’. Aku tidak menyangka bahawa Rina seorang yang berani dan tidak ada perasaan geli terhadap haiwan hijau itu. Pada mulanya, aku berasa geli-geliman apabila terpandang seekor katak di dalam begnya.

     Namun aku turut bersama dengannya untuk memainkan perananku. Semasa waktu rehat hampir tamat, kami telah menunjukkan katak hijau itu kepada kawan-kawan yang lain. Pelajar-pelajar perempuan terpekik-pekik dan terjerit-jerit ketakutan apabila melihat seekor katak di dalam genggaman Rina. Mereka berasa geli-geliman melihat katak itu. Manakala pelajar-pelajar lelaki pula cuba merampas katak hijau itu daripada genggaman Rina.

     Suasana di dalam kelas menjadi hiruk-pikuk. Kami bermain kejar-kejar di dalam kelas. Kami telah cuba menakut-nakutkan pelajar-pelajar perempuan yang sedang terjerit-jerit itu dengan cuba melemparkan katak itu kepada mereka. Mereka cuba melarikan diri daripada kami dan terjadilah adegan kejar-mengejar. Ketua darjah cuba menasihatkan kami supaya berhenti bermain. Malangnya, nasihatnya seperti menuang air ke daun keladi. Kami tidak mengendahkan langsung nasihatnya. Walaupun loceng menandakan waktu rehat telah tamat berbunyi, kami masih dengan adegan kejar-mengejar.

    “Cepat, Cikgu Siti, datang!” jerit Malik, ketua darjah.

     Semua pelajar berlari ke tempat duduk masing-masing. Aku sendiri sangat gerun melihat wajah Cikgu Siti yang garang seperti singa. Lantas, aku dan Rina bercadang menyimpan katak hijau itu di dalam sebuah laci di meja guru. Suasana yang hiruk-pikuk tadi dengan serta-merta berubah menjadi sunyi sepi. Semua pelajar menunjukkan rasa hormat kepada guru yang sedang mengajar.

     Malangnya, semasa Cikgu Siti sedang mengajar, kedengaran bunyi katak berdengung. Cikgu Siti tercari-cari suara yang didengarinya. Aku dan Rina tersenyum simpul melihat wajah Cikgu Siti yang terpinga-pinga.

     “Bunyi apa itu?” tanya Cikgu Siti.

     “Bunyi suara katak, cikgu, ” jawab Malik yang lurus akal.

     “Di mana? ” tanya Cikgu Siti lagi.

     Tanpa sempat Malik menjawab, Cikgu Siti telah membuka sebuah laci di meja guru. Tiba-tiba seekor katak telah melompat keluar dari laci itu. Suasana yang sunyi-sepi tadi berubah pula menjadi hiruk-pikuk. Cikgu Siti telah terlompat-lompat kerana cuba mengelakkan diri daripada katak itu sambil terjerit-jerit ketakutan melihat katak itu. Pelajar-pelajar yang lain pula ketawa berdekah-dekah. Aku dan Rina juga ketawa melihat telatah Cikgu Siti yang ketakutan. Kami tidak menyangka bahawa Cikgu Siti adalah seorang yang penakut.

     Tanpa disangka-sangka, pengetua sekolah kami, Encik Zainal yang sedang melalui kelas kami telah terdengar dan ternampak segala kekecohan di dalam kelas kami. Beliau terus menangkap katak itu. Cikgu Siti pula berasa lega dan berhenti menjerit kerana katak itu telah berjaya ditangkap. Encik Zainal telah mengarahkan orang yang bertangungjawab supaya menghadapnya. Aku dan Rina menundukkan muka.

     Namun, pelajar-pelajar di dalam kelas kami telah menudingkan jari ke arah aku dan Rina. Malik pula telah memberitahu Encik Zainal bahawa aku dan Rina yang telah bertanggungjawab dalam kejadian itu. Aku dan Rina telah dibawa ke bilik pengetua untuk disoal siasat. Encik Zainal telah memarahi kami kerana telah membawa seekor katak untuk menakutkan kawan-kawan. Cikgu Siti pula telah memarahi kami kerana telah berkelakuan dengan tidak sopan. Kami hanya menundukkan kepala dan meminta maaf di atas kejadian itu. 

    Semenjak peristiwa itu, aku dan Rina telah berjanji akan menjadi pelajar yang baik. Kami juga telah berjanji tidak akan mengganggu pelajar-pelajar dan guru-guru di sekolah kami. Apabila aku dan Rina mengenangkan kembali peristiwa itu, kami akan ketawa geli hati akan peristiwa yang lucu itu. Segala suka duka telah kami lalui bersama. Namun peristiwa itu adalah kenangan yang terindah semasa kami di zaman persekolahan. Kami tidak akan melupakan peristiwa yang manis itu. 


     “Hanna, cepat, pengantin sudah datang!” suara ibu menegurku. 

     Tiba-tiba lamunanku terputus. Aku meletakkan semula bingkai gambar itu di atas meja. Kedengaran tepukan kompang yang gemuruh di halaman rumah. Aku bingkas bangun dan menjenguk ke luar tingkap. Aku tersenyum melihat sepasang pengantin itu sedang diarak dengan sekumpulan hadrah. Tidak aku sangka bahawa Rina akan menjadi kakak iparku. Wajahnya sangat cantik umpama bulan purnama yang sedang mengambang. Dia dan abangku kelihatan bagaikan raja dan permaisuri yang sedang berjalan menuju ke mahligai yang indah. Kini persahabatanku dengan Rina akan menjadi semakin rapat kerana dia telah menjadi kakak iparku.

Comments

Popular posts from this blog

Persediaan sebelum menceburi bidang kerjaya yang mencabar

Kenangan Manis Zaman Kanak-kanak

Sekolahku Syurgaku