Peristiwa Menyeramkan Hati
Perjalanan selama lima jam dari Kuala Lumpur menyebabkan badan saya berasa lesu. Tiadak sabar rasanya saya hendak bertemu dengan kedua-dua orang tua saya. Mata saya mula mengantuk. Hujan di luar menambah rasa dingin pada penyaman udara kereta saya. Sejuknya begitu menyengkam tulang.
Hati saya lega apabila kereta yang saya pandu tiba di persimpangan jalan untuk ke kampung. Jalan itu memang sunyi apabila tiba waktu malam walaupun lampu jalan terang bernyala. Walaupun macam-macam cerita yang saya dengar mengenai jalan tersebut, namun saya tiada pilihan lain. Hanya itulah satu-satunya jalan untuk sampai ke kampung saya.
Tidak jauh dari simpang itu, saya sedikit terkejut apabila ternampak seorang wanita tua menahan kereta saya. Pada mulanya saya berasa keberatan untuk berhenti. Hati saya berbelah bahagi. Namun, entah kuasa apa yang mendorong saya untuk berhenti. Wanita itu cepat-cepat masuk kedalam kereta saya. Baju kurung yang dipakainya habis lencun.
“Makcik hendak kemana?” soal saya sebaik sahaja wanita itu duduk.
“Makcik hendak pulang ke rumah makcik di depan sana. Tak sempat sampai ke rumah, hujan turun pula. Makcik tidak membawa paying,” kata wanita pertengahan umur itu menahan sejuk. Kasihan pula saya melihatnya.
Berbekalkan cahaya lampu jalan, saya dapat melihat wajah wanita itu yang pucat lesi. Tiba-tiba, bulu roma saya berdiri apabila saya tercium bau yang kurang enak. Wanita itu hanya membisu dan matanya hanya melihat keluar sahaja.
“Berhenti di sini,” wanita itu tiba-tiba bersuara. Serta-merta saya menekan pedal brek dan wanita itu terus membuka pintu dan keluar tanpa menoleh kepada saya. Wanita itu berjalan menuju ke sebuah rumah yang terang-benderang dengan cahaya lampu. Saya meneruskan perjalanan yang tidak beberapa jauh lagi.
Setibanya di rumah, saya menceritakan kejadian itu kepada ibu dan ayah saya. Mereka menasihati saya supaya jangan balik terlalu lewat malam pada masa lain. Selepas mandi dan makan malam, saya terus tertidur kerana terlalu letih.
Keesokan harinya, saya melalui jalan itu semula untuk ke pekan. Saya berasa tidak sedap hati kerana tempat saya menurunkan wanita tua malam tadi adalah kawasan tanah perkuburan lama. Tiba-tiba sahaja, saya berasa seram sejuk apabila terkenang akan peristiwa malam tadi.
Comments
Post a Comment